Bikin Kecoh Saja®
suara kehidupanku meski tak akan mampu menjangkau telinga kehidupanmu tapi aku akan bicara untuk dapat mengusir kesepian dan tidak merasa jemu

Gadis Gelandangan®: v.1

Category: By ladyLC
Bunyi nyaring ‘kreekkk’ pintu papan berlubang dan jabuk[1] mematikan tarikan nafasnya. Gadis gelandangan itu, keluar perlahan dari bangunan usang terbina di Lorong Goodwill, terperosok di celahan berpuluh bangunan separuh abad lainnya. Dia ingin segera keluar dari Lorong Goodwill, bahkan ia tidak mahu sesiapa pun sedar akan pemergiannya. Bunyi gonggongan anjing kurap membingitkan telinga, malah burung gagak hitam jelek[2] pun ikut sama bersahut-sahut, gadis itu perlu cepat… matahari sudah mencerah.

Padanya, subuh itu, sama seperti subuh sebelumnya tidak lebih dan tidak kurang. Dia berjalan pantas sambil memeluk tubuh, menahan dingin pagi. Pakaiannya lusuh, selusuh seluar jeans menyalut tubuh. Kasutnya pula, sudah robek[3] dan bongkas[4] dari tapak. Ah…Aura dingin kalau tidak masuk melalui baju kain kapas itu tetap juga menerjah dari jari jemarinya.

Tepat jam 4.53 minit dia sudah berdiri depan pintu belakang kedai kopi di Jalan Carpenter, tangannya diangkat malas untuk menarik tombol. ‘Sejuknya…’ Ayat itu terpacul dari bibir mungil sebaik sahaja tangannya menyentuh tombol besi berkarat. Di dapur, kelihatan Nyonya Annisa sedang sibuk mengelap pinggan mangkuk, sampai berdecit bunyinya. Pak Adam pula, sudah siap mengatur gelas bersih menanti saatnya takat didih 100⁰C terhasil. Pandangan si gadis beralih ke sudut biasa, di situ sudah menanti periuk, kuali, senduk, garpu, pinggan, mangkuk dan segala macam alat kotor minta di basuh. Dia mencicit[5] segera memulai tugas.

Sejuk air tidak lagi dihirau, malah dia asyik komited menyiapkan kerja. Tengahari sekitar jam 11 pagi, Nyonya Annisa menyuruhnya bersarapan. Roti bakar dua keping dan kopi hitam pekat segelas. Siap sarapan, dia bermula semula. Sedang waktu menginjak[6] 3 petang dia sekali lagi menghadap rezeki, nasi berlauk ikan asam pedas. Dia mengeluarkan kompek[7] mengisi sebahagian besar rezekinya dan meninggalkan sedikit untuk dimamahnya. Pukul 5 baru dia melangkah keluar pintu belakang itu, menuju estet En. Harris pemilik hasienda[8] buah-buahan terbesar di Kota Mahogany. Dia mengambil upah sebagai pemetik buah Mangga sampailah ke pukul 7 petang. Pendapatannya cuma sekitar 8 dolar sahaja sehari. Sebelum balik ke Lorong Goodwill, dia akan singgah ke kedai runcit Nyonya Fiona membeli roti yang tidak laku dan sudah luput tarikh gunanya. Harganya murah, jatuh hampir 80 peratus dan rotinya masih elok, tambahan pula ia bakal dijamu malam itu juga. Dia menjinjing roti yang dibeli, berjalan ke Lorong Goodwill sepantas yang boleh. Fikirnya...adik-adik tentu lapar, sisa makanan semalam pasti tidak cukup untuk mengenyangkan perut mereka seharian.
______
[1] Buruk/Reput akibat dimakan anai-anai, di tumbuhi kulat atau terkena air dalam jangkamasa yang lama)
[2] Tidak cantik/Hodoh
[3] Koyak/Carik
[4] Koyak/Rosak pada bahagian bawah tempat bercantum (dengan teruk)
[5] Berlari dengan tergesa-gesa/To squeak (seperti ‘Tikus mencicit’)
[6] Memasuki/Melewati
[7] Beg Plastik (dipinjam dari perkataan Inggeris Compact Bag)
[8] Estet/Ladang/Hacienda
 

0 comments so far.

Something to say?